Showing posts with label sister in islam. Show all posts
Showing posts with label sister in islam. Show all posts

Sunday, March 8, 2009

Azimat Hati yang Terlalai

Azimat Hati yang Terlalai


Ya Allah,

Kuatkan hamba demi menghadapi semua ini.
Berikan hamba kesempatan kembali ke jalan-Mu,
Jalan yang bebas dari harapan yang sia-sia,
Satu jalan yang dapat kukecapi kasih sayang-Mu sepuas-puasnya,
Hatiku meruntun rindu yang menggunung,
Adakah rindu itu mengatasi rindu untuk berjuang di jalan-Mu?
Hatiku berbekas kekecewaan yang mendalam,
Adakah kekecewaan itu mengatasi redaku terhadap ujian-Mu?
Jika semua itu benar bagiku,
Maka celakalah aku sebagai hamba-Mu..

Pulangkanlah hatiku kepada yang hak,
Asingkanlah hidupku dari nista dan kebatilan,
Pinjamkanlah diriku ketabahan Siti Khadijah,
Serapkanlah cinta Rabiatul Adawiyah di hatiku,
Kuatkanlah semangat juangku laksana Asiah,
Kukuhkan pendirianku sehebat Masyitah,
Tegakkan berdiriku seteguh Uhud.
Dan kurniakanlah aku para sahabat,
Yang setianya tidak berbelah bahagi,
Yang kasihnya tidak boleh dijual beli,
Yang sama-sama mencintai-Mu,
Yang matlamatnya seiring denganku.

Moga air mata yang terus meneman berhenti,
Agar dapat kusimpan,
Demi rasa takut kepada-Mu,
Hanya keluar di sepertiga malam-Mu,
Menemani cinta hanya kepada-Mu,
Mengiringi rindu hanya untuk-Mu,
Dengarkanlah rintihan hamba,
Hanya kasih-Mu yang hamba dambakan,
Di saat duniaku porak peranda,
Disaat hatiku sepi sendiri,
Di saat orang-orang yang kukasihi meninggalkanku,
Di saat tiada lagi tempat boleh kumengadu,
Selain kepada-Mu.



Nukilan hati,

Noraini Nasnan
8/3/2009 8:36:23 AM


Aku mencoret nukilan hati ini saat mataku celik kerana terjaga dari mimpi-mimpi yang selama ini melenakanku.. Lama sudah.. baru kini kutersedar. Harap belum terlambat. Harap masih tersisa peluang untuk mengejar matlamat sebenarku... o0Ohhhh... Janganlah lagi aku tertidur. Bimbang mataku celik untuk sekian kalinya adalah ketika saat HARI PERHITUNGAN..

[+] Read More

Sunday, November 30, 2008

Hargai Seni Itu!


Bukan semua yang diingini berjaya kita miliki. Bukan semua yang mampu dicapai menjadi milik kita. Juga, bukan semua yang kita miliki akan kekal selamanya. Dalam apa jua keadaan, memasang impian atau dalam membuat keputusan, selitkan rasa bersyukur dengan segala yang ada dan rasa reda dengan segala yang akan kita terima.

Begitulah hidup ini, setiap yang aku lalui bukan seindah hamparan impian yang aku lakar di atas kertas kehidupan. Lakaran impian hidup yang aku buat berubah dengan tertumpahnya warna-warna harapan, dan corak suka duka ibu bapaku. Lukisan menjadi abstrak. Sukar difahami oleh kebanyakan mata yang memandang. Lantas ada mulut yang berkata, hanya hati yang buta seni menyatakan itu lakaran sampah. Aku termenung lagi. Berapa ramai pula manusia di dunia ini yang benar-benar menghargai seni kehidupan?

Oh, tidak! Mengapa perlu aku berputus asa dan kalah dengan kritikan orang yang bercerita? Hentikan berfikir yang bukan-bukan. Aku sendiri terlebih dahulu mesti hargai seni kehidupanku. Berusaha menambah baik dengan lukisan terindah. Boleh jadi sampai masanya aku akan menemui pembeli yang benar-benar menghargai karya jalan hidupku. Jika takdirku lebih baik, aku akan menemui pembida tertinggi yang akan membayar dengan nikmat di akhirat sana! Siapa?

Aku mesti kuat demi melihat kehidupan sementara mahupun abadi sentiasa lebih baik. Aku wajib menjadi karyawan yang paling menghargai hasil kerjaku. Mesti yakin dengan apa yang aku buat dan terima. Aku tidak boleh menjadi karyawan yang cuba menciplak hasil seni kehidupan orang lain. Meniru hasil seni kehidupan manusia paling hebat di dunia pun, pastinya selama hidup, aku tidak akan menemui nilai harga segala yang kulakukan. Aku mesti yakin dengan seni jalan kehidupanku sendiri.

Begitu juga KAMU! Hargai seni kehidupan kamu.

Jika kita turut beranggapan hasil seni kita sampah, meskipun harganya tidak ternilai, ia tetap sampah! Seandainya seni hidupmu benar-benar tiada nilai di matamu mahupun orang lain, angkatlah hamparan kertas laksana maruah kamu itu, dan mengadulah kepada Zat yang menciptakan anggota tubuh kita. Bertaubat dan berdoalah. Dia Maha Pengasih..

Pesanan : Maafkan saya kerana sekian lama tidak muncul di sini. Ingin dimaklumkan, saya tidak dapat menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke Universiti Mu’tah, Jordan setelah menimbangkan keadaan dan saranan kedua-dua orang yang paling berhak ke atas saya. Ini juga seni. Saya menghargainya dan akan terus melakar dengan pena yang tajam!

[+] Read More

Wednesday, September 3, 2008

Harapan Ramadhan!

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Semuanya nampak mudah. Segala-galanya sempurna. Namun tidak siapa tahu, setelah setahun meninggalkan USIM, bernaung di bawah satu syarikat, berperang dengan pelbagai emosi, mungkinkah ganjaran baik yang aku dapat atau mungkin sebaliknya? Yang lebih penting, adakah itu kehendak aku?

Cukup sahaja Allah mengetahui sebanyak mana air mata ini tumpah. Dia adalah Zat yang mendengar doa dan harapanku. Tatkala tiada bahu untuk kusandar tangisan, pada-Nya jua kusandar harapan. Dari harapan yang pahit, aku menemui keredaan yang manis. Aku tidak pernah menyesal dengan jalanku. Alhamdulillah, banyak yang aku pelajari. Dari ilmu perniagaan, ilmu pertanian, ilmu pemasaran, ilmu komputer, dan juga, ilmu sosial. Meski tak sempurna, tapi berguna.. :)

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti


Bohonglah kalau hati tidak cemburu melihat orang lain menuntut ilmu. Nafsu ingin segala-galanya perfect belaka. Namun, itu mungkinkah? Sedang dunia orang Mukmin itu telah dibeli oleh Allah, dan kesusahan itu pasti bagi orang-orang yang beriman.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, diri, harta mereka
dengan memberi syurga kepada mereka.." (At-Taubah : 111)

Mendengar sahabatku di perantauan tiada makanan untuk berbuka, mengetuk pintu syukur dan keinsafan. Nafsuku ditegur. Dengan harapan Ramadhan, titipkanlah semangat juang di dalam hati aku dan dia, juga hati saudara-saudaraku yang ditindas kafir laknatullah. Allahumma ansurna bil Islam, fil Iraq wal palastin wal afghanisthan wal malizia wal indonezia, wa fi kulli makan ya Allah..

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan


Hakikatnya, masih tersimpan di sudut hati, aku ingin menuntut kembali. Kalau orang lain tak sabar-sabar menamatkan pengajian, aku pula tidak sabar-sabar untuk menyambung pelajaran. Huhu. Biar sampai mati, tiada istilah berhenti. Ikut kata Rasulullah SAW pepatah arab, Tolabal Utlubul ilm minal mahdi ilal lahd, tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Sememangnya, aku mendukung harapan tinggi untuk ke bumi Anbiya (huhu..), tiada mustahil bagi Dia, namun aku akan akur atas segala ketentuan-Nya. Dengan keberkatan Ramadhan ini Ya Allah, jangan putuskan nafas sabar dalam diriku. Pastinya ada jalan keluar! Sebagaimana satu hadis sahih menyebut, “Ketahuilah bahawa bantuan itu ada bersama kesabaran dan jalan keluar itu selalu bergandingan dengan cubaan.”

“Ingatlah, sesungguhnya bantuan Allah itu amat dekat,” (Al-Baqarah : 214)
Tak salahkan berharap begini? Teringat kata-kata Leftenan Muda Nor Naimi dari Team Bina Insan yang dalam slotnya selalu berpesan, ‘Matlamat adalah apa yang kita mahu (harapan), kita tulis, dan kita baca setiap hari’ Bukan sahaja beliau, malah Irfan Khairi, jutawan internet muda juga menyimpan matlamat sejak berumur 18 tahun. Matlamat dan harapan itu yang dibaca setiap hari.

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua


Bait-bait lirik ini kucedok dari nasyid Harapan Ramadhan oleh Raihan dan Man Bai. Semoga harapan Ramadhan ini akan terus hidup di jiwaku dan melagukan kasih rindu untuk menjadi hamba Allah yang baik. Izinkan aku menamatkan bicara dengan harapan, tolong doakan diri ini!

[+] Read More

Monday, July 28, 2008

Nikah awal!


Terasa rugi apabila aku hanya sempat mengikuti program bina insan kelolaan Pure Base pada minit-minit terakhir. Bertambah kagum apabila aku dapati fasilitator merupakan mahasiswa yang didatangkan dari universiti tempatan seluruh negara terdiri dari pasangan yang telah bernikah!

Kagum bersulam hairan. Bagaimana di saat orang berhempas pulas menuntut ilmu, mereka ada waktu untuk membina keluarga? Mengapa mereka bersusah-payah menyesakkan hidup dengan tuntutan ilmu yang berat, keluarga, dan dakwah sekaligus? Jika difikirkan, banyak aspek yang perlu diambil kira seperti pemberian nafkah dan sara hidup. Boleh dikatakan menuntut di universiti adalah fasa hidup yang susah, semuanya memerlukan pinjaman aka hutang seperti PTPTN. Tidakkah miskin namanya?

"Orang menikah tak miskin. Yang miskin tu lagi dianjurkan menikah,"
Jawapan yang kuterima dari salah seorang fasilitator lebih menambahkan tanda tanya. Waktu yang terbatas meninggalkan persoalan tanpa penjelasan.

Siapa sedar, setiap persoalan, Al-Quran ada jawapannya. Dari hasil pembacaan, tahukah kamu ulama salaf hampir bersepakat bahawa setiap orang miskin hendaklah bernikah!

"Dan berkahwinlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaku dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui" (An-Nuur : 32)
Jawapan terus dari kalam Allah ini sangat menakjubkan. Akal menggamit untuk berfikir. Atas alasan apa pula mahasiswa perlu menangguhkan pernikahan hingga tamat belajar? Sedang Allah telah memberi kunci keluar dari belenggu kemiskinan adalah bernikah jua. Malah Umar Al-Khattab ra mengatakan :
Siapa yang merasa miskin, hendaklah ia menikah.
Segala yang tersirat dari kalamullah dan kata-kata sahabat ini telah dikaji, dan hasil kajian yang tersurat membuktikan kaedah ini sangat mujarab. Hebatkan.. Maha suci Allah, Tuhan yang berkuasa memberi rezeki dan menunaikan janji.

Dr. Aidh Al-Qarni, penulis buku La Tahzan ada menyebut para pemuda dan pemudi yang berpaling dari menikah khususnya lulusan pengajian tinggi kerana ingin melanjutkan pelajaran, hingga menjadikan alasan ini kambing hitam, seolah-olah bertuhankan selain Allah. Nauzubillah. Kata-kata ini wajar direnungkan, menarik untuk disampaikan di sebalik perdebatan yang sangat memenatkan. Singgahlah di mana-mana forum agama online, pasti mata tidak terlepas dari membicarakan hukum couple, berpasangan sebelum kahwin. Mual.

Cinta itu fitrah. Iman juga fitrah. Terlalu ramai yang khayal dengan biasan pelangi hinggakan kaki hampir tergelincir ke gaung kebinasaan. Terlalu ramai juga yang lebih memilih membina mahligai di jurang yang runtuh, dari membina masjid yang dijanjikan kebahagian utuh dari Allah. Lintasan kata-kata ini telah lama tersemat dalam Al-Quran. Cintai dan hayatilah kalam Allah dahulu sebelum membina prinsip yang tidak-tidak. Firman Allah :
"Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bengunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahanam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (At-taubah : 109)
Wahai saudaraku sayang, anda seorang yang beruntung kerana berpeluang menuntut di menara gading. Namun anda dikatakan bijak jika mampu menyeimbangkan keperluan agama dan dunia. Jika sudah tiada kata yang mampu melembutkan hatimu, tanya terus pada hati sendiri. Wajarkah aku begitu dan begini? Berpasangan sekarang, atau bernikah dahulu? Selemah-lemah iman saudaraku yang sanggup berbuat maksiat, di sudut hati ada fitrah yang tidak terpadam, iaitu kalimah Lailahaillallah.

Buatlah pilihan yang terbaik. Diamku bukan setuju, diamku kerana cedera dengan sikapmu.

[+] Read More

Saturday, July 19, 2008

Bukan dosa biasa.

"Pss.. kak! Tahu tak, pembantu rumah kita tu dulu kerja dot..dot..dot,"

"Eh, kelakarnya suara kawan kau tu! Macam tuuuut"

Ha, nampaknya ada antara kita yang sudi makan daging saudara sendiri! MasyaAllah, bukankah kita sudah maklum bahawa Allah mencela orang yang mengumpat (ghibah). Bukan apa-apa? Boleh bertaubat selepas ini? Baik kita fikirkan semula kalau berfikiran sebegini. Kenapa? Tahukah kamu orang yang biasa mengumpat kemudiannya bertaubat, dia adalah orang yang terakhir masuk syurga. Manakala orang yang biasa mengumpat tetapi tidak sempat bertaubat adalah orang yang pertama masuk neraka! (Ini Hadis)

"Janganlah sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)?" (Surah Hujurat : 12)
Mengumpat atau fitnah semakin menjadi-jadi akhir zaman ini. Nilai kembali segala yang terzahir dari mulut kita seharian. Orang yang terbiasa mengumpat (ghibah) ibarat seseorang yang berkunjung di rumah yang penghuni di dalamnya makan khinzir, baunya busuk sekali. Padahal penghuni tersebut langsung tidak tercium bau tersebut, kerana.. sudah terbiasa.

Jangan meremehkan dosa mengumpat hingga menganggapnya dosa besar yang 'biasa'. Bahkan Hasan ra ada berkata, "Demi Allah, ghibah itu lebih cepat meruntuhkan agama daripada pemakan jasad,". Jika sebuah negara terlalu asyik dengan sesi mengumpat dan menabur fitnah, wajarlah difikir kembali. Mampukah sebuah negara Islam yang baik diwujudkan, sedang nilai hidup beragama penduduknya runtuh?

Zaman dah berubah.. dunia dah maju.. Sememangnya negara-negara yang telah jauh kehadapan mengecap erti kemajuan lazimnya mempunyai rakyat yang bersatu dan berdisiplin. Demi melakukan kezaliman ke atas negara-negara Islam pun mereka mampu bersatu! Kita ambil yang jernih. Apabila inginkan negara yang bersuasana mahabah dan berteraskan Islam, semestinya, pemimpin mahupun rakyat harus sepakat. :)

Jangan pernah bermain-main dengan erti taubat. Benar, Allah itu Maha Pengampun, sayang.. namun itu bukan tiket untuk kita meremehkannya. Sebaiknya, selusuri dahulu syarat-syarat sebelum dosa itu diampunkan. Seorang lelaki yang berzina dengan perempuan yang telah bersuami, taubatnya hanya diterima setelah dia minta 'halal' kepada suami perempuan tersebut. Begitu juga orang yang meninggalkan solat, puasa, zakat, dan haji, dosanya tidak terhapus melainkan dia bertaubat dan mengqada'kan semula (ganti).

Bagaimana dengan mengumpat? Rasulullah S.A.W telah bersabda :
"Takutlah ghibah. Ia lebih buruk dari zina. Lelaki berzina lalu bertaubat, Allah menerima taubatnya. Sedangkan Allah tidak mengampuni orang yang ghibah sebelum orang yang diumpat memaafkannya,"
Semoga anda dan saya yang menulis ini terutamanya jelas akan hal ini. Oh ya, bagaimana jika kita menuduh orang berzina atau meliwat sesuka hati dan kita sibuk menyampaikan kepada orang lain? Bagaimana pula jika ternyata orang yang dituduh itu tidak bersalah? Saudaraku.. kita faham-fahamlah, kerana mulut badan binasa. Kerana menuduh orang berzina tetapi ternyata kesaksian tidak kukuh atau tuduhan palsu, boleh jadi kita antara yang layak menerima 80 kali sebatan, tiada diskaun. Hehe. Itupun jika kita tidak mendapat bonus, yakni orang yang tidak bersalah dan teraniaya itu berdoa, tidakkah dia termasuk orang yang mustajab doanya? Allah lebih tahu.

Jangan kita termasuk orang yang zalim dan rugi! Fikir-fikirkanlah sebelum berbicara.. kerana aku menyayangimu wahai sahabat dengan segenap jiwa ragaku..

[+] Read More

Tuesday, May 6, 2008

Andainya aku sakit..

Baru-baru ini aku ditegur kerana menayangkan gambar sendiri di blog ini. Lantas aku bertanya kepada ramai orang mengenai kewajaran tindakan aku. Kebanyakan pendapat berat bahawa sorang muslimah sebaik-baiknya tidak mendedahkan diri sebegini. Walaupun tiada nas yang benar-benar menyentuh hal ini yang cuba mereka tegakkan, sekurang-kurangnya aku faham bahawasanya selepas kewafatan Nabi, tiada fitnah yang lebih besar dari fitnah perempuan. Malah seindah-indah wanita adalah yang tahu menjaga malunya. :)

Dalam aku ghairah bertanya, aku mengenali seorang ikhwan. Ilmunya tinggi berbanding aku yang baru nak belajar bertatih. Dia mampu mengupas hal ini dengan baik serta mengaitkan permasalahan dan kesilapan orang Islam masa ini. Dia menegur pendirianku. Entahlah. Antara dia sedar atau tidak, ada sesuatu yang membuat aku berasa terkilan. Lantasku ambil wuduk, moga tiada sedikitpun rasa marah yangmuncul, dan moga-moga Allah lembutkan lidahku untuk berbicara.

Andainya pada suatu hari aku sakit sesak nafas, dipercayai kerana merokok. Aku berjumpa doktor. Alhamdulillah, doktor beri ubat yang betul. Aku senang hati kerana sakitku lega. Tiba-tiba si doktor berkata, "Rokok ini tidak baik dan menyusahkan diri,". Aku senyum kerana aku akui kesilapanku. Doktor menyambung, "Bukan sahaja menyusahkan diri, menyusahkan orang lain juga! Tak ubahlah seperti penagih dadah. Sama-sama tak guna. Rokok ini haram!" Doktor, saya tidak berniat... "Saya tak kata kamu! Saya maksudkan orang lain," Aduh, bisanya!

Benar doktor, kata-kata doktor benar. Aku bersangka baik bahawasanya doktor ingin menyampaikan kebenaran, ingin melihat kebaikan. Namun, hatiku tidak dapat tidak untuk berkecil hati. Aku boleh pulang ke rumah dengan membawa penawar untuk sakit nafasku, tetapi aku juga tidak dapat tidak membawa sekali pulang hati yang telah remuk. Adakah aku salah? Adakah pula doktor yang salah?

Begini, setinggi-tinggi ilmu yang kita ada untuk disampaikan, semakin itulah kita perlu menghayati hati insan yang ingin disampaikan kebenaran itu dengan sedalam-dalamya. Ilmu yang benar atau nasihat yang baik, jika cara penyampaian kurang sesuai, boleh jadi kurang berkesan kepada pendengar, atau lebih teruk, sia-sia sahaja.

Petikan dari buku Sakit, Apakah Ubatnya? amat manis untuk dihayati, sangat bermakna untuk kita dalami.

Wahai anakku:

Kalaulah kamu berbahas atau berdebat bersama-sama kawan maka janganlah mengeluarkan hujah-hujah melainkan hujah-hujah yang tepat dan bernas. Janganlah kamu angkuh dalam mengeluarkan kata-kata dan hujah-hujah. Janganlah kamu mengeluarkan kata-kata yang kesat dan mencerca, bila mereka tersalah hujah, berdebatlah dengan hati yang tenang, dengan cara-cara yang ilmiah, ini akan memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak. Cara-cara yang baik bercakap dengan tidak mencelah cakap-cakap teman engkau, sebelum habis bercakap dan janganlah engkau gopoh semasa menjawab. Jawapan kamu hendaklah tepat dengan tajuk perbahasan.
Aku sangat bersyukur berpeluang berdiskusi dengannya. Aku sangat sayang akan ilmu yang dia ada. Moga Allah kurniakan kita kelembutan lidah dalam berbicara, hingga mampu melembutkan hati yang mendengar, seterusnya menggamit seluruh anggota untuk melakukan kebaikan. Kita perlihara ukhuwah kita. Jazakallah!

[+] Read More

Friday, April 25, 2008

Pengganti yang lebih baik.

"Aku tidak boleh hidup tanpa dia. Tiada siapa boleh menjadi pengganti,"

Oh, sedihnya.. Mungkin inilah bicara hati tatkala kehilangan orang yang tersayang. Merelakan pemergian insan yang mempunyai sudut istimewa di hati bukannya mudah. Hingga ada kalanya akal menghukum, pintu kebahagiaanku sudah tertutup! Eh?

Jangan begitu saudaraku.. Sedalam manapun kasih kamu pada si dia, dalam lagi cinta Allah pada kamu. Pintu kebahagian sentiasa terbuka. Berbaik sangkalah dengan Allah. Kamu dapat mengenali insan yang sangat istimewa itupun dengan izin Allah. Jadi, adakah sangat-sangat mustahil bagi Allah untuk menemukan kamu dengan insan yang jauh lebih baik dan istimewa dari dia?

Belajarlah berkasih sayang kerana Allah. Perpisahan boleh jadi jalan yang terbaik apabila tatkala bersama-samanya, kamu hilang cinta pada Allah. Hanya kerana mengasihinya, solatmu seringkali terabai, maruahmu tiada nilai, tangismu hanya untuk dia, dan pesan ibubapamu ternyata sia-sia. Janganlah demi cintamu padanya kau korbankan jiwa dan raga. Fikirkanlah, adakah yang lebih baik dari perpisahan ini dan cinta pada yang Esa?

Teman yang terbaik bagi kamu adalah ketika kamu melihatnya dapat menambah rasa cinta pada Allah, mendekatkan diri pada-Nya. Andai kata kita berpeluang mengenali orang-orang seperti ini, perliharalah sebaik-baiknya. Namun, jika perpisahan masih tidak boleh dielakkan, terimalah ketentuan Allah dengan reda. Bukanlah kamu tidak cukup baik untuk dia, tetapi itu adalah yang terbaik bagi kamu dan si dia. Kamu merancang, orang lain juga merancang, dan sebaik-baik penentu perancangan itu adalah Allah. Mari hayati firman Allah;

"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" [Al-Baqarah:216]

"Aku telah kehilangan insan yang sangat baik dan aku reda akan kehilangannya. Masihkah ada lagi insan yang terbaik bagiku, yang dapat menemani jalan-jalan menuju cinta Allah?" La tahzan.. (huhu) tetapi amalkanlah hadis dari Ummu Salamah yang sangat berguna ini, sabda Rasulullah;

Aku kepunyaan Allah dan aku kembali kepada Allah. "Ya Allah, berilah pahala kepadaku di dalam menempuh musibahku dan berilah gantinya yang lebih baik. [Riwayat Muslim]

Ummu Salamah mengamalkan doa ini selepas kewafatan suami tercinta, seorang pejuang Islam yang banyak berjasa dalam agama ini. Allah Maha Berkuasa. Benar, Ummu Salamah mendapat pengganti yang lebih baik! Siapa lagi kalau bukan Rasulullah! :)

[+] Read More

Thursday, April 17, 2008

Siapa Mereka Dalam Hidupku?

Jika ditanya siapa yang gagal menilai hidup, maka aku salah seorangnya. Aku terlalai dalam membawa amanah mak dan abah. Aku mengejar sesuatu yang besar, namun ada ketikanya aku terleka menjaga sesuatu yang kurasa kecil, namun menjadi impian mereka.

Astaghfirullah, kumulakan bicara dengan pinta keampunan-Mu ya Allah, andai tutur kataku melampau namun perlakuanku, tidak sehaluan. Imanku terlalu nipis dan akalku sangat-sangat terbatas. Dalam melalui umurku, aku tidak terlepas ingin mengicip sedikit kebebasan dalam haluan hidup. Natijahnya, ada yang terluka.

Walaupun tidak terluah oleh kata-kata, aku menolak impian ibuku. Aku tidak pernah sedar permintaannya untuk selalu makan bersama sangat tinggi. Aku tidak pernah tahu bahawa ibu menyimpan impian untuk dihantar ke tempat kerja oleh anaknya sendiri. Aku tidak pernah sedar selepas ayah, aku adalah insan yang sangat diharapkannya untuk menerap nilai hidup beragama dalam keluarga. Banyak lagi kealpaanku. Sifat tidak endah ini menjadi racun dalam hidup.

Berkata Dr. Fadilah Kamsah, tiada istilah melukut di tepi gantang bagi setiap kelahiran anak Adam. Ibarat seperti planet, tiada salah satunya, cacatlah sistem suria. Ibu berkata, perkara yang paling membahagiakan hidupnya adalah ketika kelahiran aku, aku harapannya. Luluh hati mendengar. Aku baru sedar kesilapan dan keegoanku. Ya Allah, terasa murah sangat air mata ini. Anak yang taat bukan hanya tahu menjaga maruah agama di luar, tidak berpeleseran, dan menjaga aurat, tetapi tahu mengaplikasikan beberapa komponen penting untuk menjadi anak soleh. Berjayanya seorang anak bukan kerana kekayaannya, tetapi hubungan baiknya dengan ibubapa. Ini bukan hanya hipotesis, malah telah menjadi teori bahawa reda Allah letaknya pada reda ibubapa.

Sesungguhnya, jagalah tingkah laku. Kepada rakan-rakan dan adik-adikku, jangan pernah menganggap ibubapa penghalang cita-cita, tetapi mereka ingin melorongkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Andai jika kita ada cita-cita yang ternyata berbeza dari lorong itu, berbicaralah dengan mereka dengan penuh hikmah. Pinta restu mereka, dan jangan biar mereka kecewa hingga menitis air mata kerana kederhakaanmu. Mungkin kamu berjaya dengan pilihan kamu, tetapi kamu gagal mengecap kebahagiaan selama mana tiada keredaan, Allah dan ibubapa.

Jika ibubapa mahukanmu meminta izin dahulu sebelum keluar jauh, maka, meski menuntut di universiti, sekurang-kurangnya sms mereka. Kedengaran remeh kan? Tetapi perhatian tidak langsung ini sebenarnya sangat membahagiakan. Jangan bermimpi meredah lautan api dapat mengatasi jasa mereka terhadapmu. Tidak mungkin! Tidak sekali-kali.. Mungkin mereka tidak pinta, namun perkara remeh inilah yang membuat mereka berasa sangat dihargai. Tahukah kamu, kerinduan mereka terhadapmu, ada ketikanya boleh menjadi kederhakaan kamu pada mereka? Ada restu mereka, maka mudahlah urusanmu di dunia.

Tulang belakang semangatku adalah cinta dan kasih sayang keluarga. Porak-peranda keluargaku, maka kacau bilau jalan-jalan hidupku. Pastinya, kebahagiaan mereka adalah kebahagiaanku.

[+] Read More

Monday, January 28, 2008

I'm fine, thank you!

Dia lain hari ini, hatiku berbisik. Kegugupannya menarik perhatianku. Kesugulannya mengundang tanda tanya. Lantas kuhulurkan salam bertanyakan khabar. Jawapan yang sudah kujangka, Alhamdulillah, aku baik-baik sahaja. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, sama ada tua mahupun murid-murid sekolah;


Kaifa haluka? Alhamdulillah ana bikhair.

How are you today? I'm fine, thank you!


Meski si kecil yang sedang demam selsema itu perit mengawal hingusnya, jangan hairanlah jawapan yang kedengaran masih juga sama. 'Skrip sterotaip' ini sudah biasa kedengaran. Tidak hanya budak kecil, ketika dirundung rasa susah hati, aku masih juga menggunakan ayat lama ini (huhu).


Kenapa? Sudah terbiasa..


Apa yang ingin aku huraikan di sini sebenarnya tanggungjawab bertanya kabar sesama rakan tidak tamat pada ucapan 'Saya baik-baik sahaja'. Kadang-kadang
menjaga tepi kain orang itu lebih baik dari menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (huhu!). Aku sendiri amat senang hati jika ada orang yang mengambil perhatian perubahanku. Ini menunjukkan bahawa hidup kita di dunia ini tidak pernah keseorangan. Nyahkan sedikit pepatah pertama itu dan selitkan hidup ini dengan peribahasa seperti isi dengan kuku di dalam menjalinkan silaturrahim (lagi satu!).


Apabila melihat, jangan bataskan pandangan. Apabila mendengar jangan hanya sampai di telinga. Lihat dan dengarlah dari sudut jiwa. Permasalahan mengajar kita berfikir. Perkongsian menjalin kasih sayang. Namun jika benarlah saudara kita itu tidak bersedia berkongsi atau kita tidak mampu menolong, hulurkan kata-kata semangat. Ingat ya, sedang Imam Shafie juga terlalu mementingkan nilai persahabatan. Sukar untuk mencari sahabat tatkala waktu susah menjelma.

Kuatkan semangat mereka! Firman Allah;

"Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)."

Kita juga, jika tiada siapa peduli tatkala dilanda keresahan, jadilah pendorong paling baik untuk diri sendiri. Mengapa? Bukan semua rasul adalah ulul azmi. Rasul yang punya keazaman dan ketabahan yang hebat itulah yang diangkat tinggi oleh Allah SWT. Jadi sematkan tekad, kuatkan azam! Hasbunallah wa ni'mal wakeel. Cukuplah Allah sebagai pelindung. Hati akan reda, insyaAllah!

[+] Read More

Tuesday, January 15, 2008

Senyumlah, atasi semuanya.

Mengapa sukar untuk tersenyum? Senyuman bukan milik mutlak insan yang dapat ‘mencipta bahagia’. Senyuman boleh jadi senjata paling kukuh tatkala kita diserang rasa putus asa. Senyuman merupakan tali yang boleh menarik semangat yang kian pudar, iman yang mulai rapuh.


Tahu tak kenapa?

Jika kita perasan, semasa kita terasa hidup dibelenggu tekanan atau berhadapan dengan kegagalan, tidak puas kita menyalahkan diri sendiri atau takdir. Sukarnya mahu terima hakikat. Rasa hidup ini singkat sahaja, tiada erti. Kita cuba lari dari keadaan, tapi sebenarnya kita lagi mengeruhkan keadaan. Hati kita sakit!

Berhadapanlah tekanan hidup dengan senyuman. Jangan jadi pejuang yang berada di medan peperangan, gentar dengan jumlah musuh dan patah balik tanpa mulakan apa-apa! Tekanan hidup suatu yang relatif. Jika kita takutkan lautan luas, maka jadilah seperti si pengail yang berada di tepi saliran, mendapat habuan, tetapi tidak seberapa. Berbeza dengan orang yang sanggup berhadapan risiko, sanggup redahi lautan luas. Risiko hidup lebih tinggi, tapi bagaimana dengan hasil? Tidak sedikit sayang…

Semuanya, kita yang tentukan..

Percayalah, pintu kejayaan dan ketenangan sentiasa ada. Senyumlah, hati akan reda dengan segala yang berlaku. Senyuman tatkala duka adalah ‘kuasa’ yang membantu kita bangkit di saat jatuh tersungkur. Ketika itu ramai orang ketawakan kita. Jika kita kuat, bangunlah dan tersenyum.

“Rilex aaa.. Aku tak mati lagi! Hahaha….”

Heh, hidup perlu diteruskan! Nak buat-buat pengsan ke? Suka hatilah… Jalan penyelesaian bukan satu. Ada plan A, B, dan seterusnya. Semestinya mesti pantas. Aku juga bukan tidak pernah masalah bertandang. Berfikiran positif! Yeah!

Memilih pekerjaan dahulu sebelum menuntut adalah tindakan yang berisiko. Serius! Aku perlu berhadapan dengan mulut-mulut ‘comel’ dan ‘petah’ berkata-kata. Jika aku berjaya selepas ini, adakah mulut-mulut ini akan berhenti ‘berkata-kata’? Semestinya tidak (mungkin volume berkurang sedikit). Selagi kita hidup, kritikan adalah peneman. Inilah politik hidup.

“Dan janganlah kamu hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).” Surah Al-Ahzab : 48.

Senyumlah hai cek mek molek. Senyummmmmmmmmmm!! Klik!

**Hiduplah hai benih semaianku. Berjuanglah ke akhirnya. Kutunggu di rumah tanaman. Hehe..

[+] Read More

Saturday, December 22, 2007

Bersyukur, boleh ke ni?

“Sabar dan bersyukurlah,”
“Cakap memang senang, yang tanggung aku!”

Selalukan dengar ungkapan ini? Memang bukan mudah untuk bersabar, apatah lagi bersyukur. Oleh sebab itulah rahmat yang Allah kurniakan begitu besar jika mampu kita lakukan. Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan aku sempurna anggota. Nikmat Allah terlalu banyak. Tapi nikmat yang satu ini jarang benar disyukuri.

Sering kita mendengar mulut-mulut yang lancang berbicara, 'aku tidak pernah mendapat rezeki yang besar', 'aku selalu suwey', 'nasib selalu tak menyebelahi aku' dan macam-macam lagi. Tahukah saudara-saudaraku, ini bicara hati yang kosong, hati insan yang tidak tahu bersyukur. Hakikatnya kesempurnaan sifat dan badan yang sihat adalah nikmat yang tidak terbanding, rezeki yang tidak ternilai.

Hinanya sikap manusia (aku juga manusia!) kerana seringkali kedengaran, 'Aku akan bersyukur jika dikurnia pekerjaan yang hebat'. Janganlah sampai kita menangguh ucapan syukur. Hal ini jelas, jika sekarang kita tidak mampu bersyukur dengan apa yang kita ada, bolehkah kita beri jaminan bahawa selepas ini kita akan melakukan perintah Allah dengan sebaik-baiknya? Bolehkah kita menahan diri dari kufur dengan dengan nikmat yang datang? Heh, hinakan sikap manusia?

Fabiayya aalaa irabbikumaa tukazziban. Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan? Jika saudara-saudaraku peka, ayat ini sering kita sebut-sebutkan. Rujuk mushaf kita, Al-Quran di dalam surah Ar-Rahman. Banyakkan? Tidak mampu aku mengulas lebih lanjut. Feel free to ask me why? I’m not majoring in Quran Sunnah, but as a Muslim girl, it compulsory for me to know, for the sake of Allah.

Janganlah bersedih kerana tidak memperoleh sesuatu yang kita mahukan kerana rezeki itu sudah dijamin. Aku juga tidak terlepas dari menangisi sesuatu yang pergi mahupun sesuatu yang tidak kunjung tiba. Namun selagi aku ingat bahawa Allah itu Zat yang Memberi Rezeki, insyaAllah aku reda dan terus berusaha.

Bukankah Allah sudah menyebut; ‘Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan mereka’ Surah Al-An’am: 151.

Sudah terlalu lama aku tidak menjenguk blog ini. Terima kasih kepada yang memberi sokongan. Saat ini aku terlalu sedih. Pedih sangat! Kalaulah sejak dahulu lagi aku menghayati nilai syukur...

[+] Read More

Monday, October 8, 2007

Izan Waffakoniyallah.... (Apabila Allah memberi Taufik)

Ya Allah, aku sudah tidak sabar. Sudah lama aku tertunggu-tunggu kedatangannya. Di dalam diari, hand phone, malah di dalam buku teks aku tak lupa mencatat tarikh ini. Aku tidaklah terlalu tua untuk mengingat. Huhu. Mungkin terlalu teruja! Ya Allah, aku rindu sangat..
Ahlan wasahlan Ramadan al-mubarak!

Inilah hari dan bulan yang kuternanti-nanti. Alhamdulillah, tahun ini aku berpeluang lagi menemuimu. Sedikit sebanyak aku teringat saat-saat berpuasa di sekolah dahulu. Lima tahun di asrama penuh. Dalam tempoh itu pelbagai pengalaman aku lalui. Bangun sahur seawal 4.30 pagi (semestinya bukan aku yang menyediakan lauk), menghidangkan juadah buka puasa untuk puteri-puteri asrama, mengunjungi bazar kecil milik Pak Mat, solat terawih di musolla, tadarus, dan moreh!

Oh, itu dahulu! Semua yang kulalui hampir sama setiap tahun. Memori yang kutinggal semalam. Tahun ini sudah tentu berbeza. Malam itu aku dan rakan-rakan serumah (Tamhidi USIM) turun ke musolla Camelia Court. Para jemaah mulai memenuhi saf. Kami beramai-ramai mengimarahkan malam 1 Ramadan 1428 H dengan tadarus dan solat sunat terawih. Hatiku benar-benar terusik. Ya Allah, aku rindu..

Hari pertama aku berpuasa. Aku bersahur nasi yang kubeli semalam. Rakan-rakan serumah kukejutkan dari lena. Kami berkongsi nasi. Jujurnya, bukan senang menelan nasi sejuk. Kami tiada pilihan. Aku jarang merasa saat terdesak seperti ini. Bukan aku seorang. Kami semua sama. Hatiku meruntun rasa sayu. Mata kami bertatapan. Ya Allah, Kau kuatkanlah iman saudara-saudara kami yang lebih susah dari kami, yang tidak berpeluang menikmati secebis makanan di saat ini. Masukkanlah juga kami antara hamba-hamba Mu yang bersyukur. Ameen.

Alhamdulillah. Aku lalui hari ini dengan baik. Malam itu aku turun lagi ke musolla. Ketika melabuhkan punggung , seorang kanak-kanak menegur. "Kakak nak solat Terawih, ya?". Aku mengangguk dan tersenyum. Dia bersendirian. "Ibu tak boleh datang". Aku pandang matanya. Fahamkah dia apa yang diucapkan? Kami bertaaruf. Si kecil ini berumur lima tahun. Dia berpuasa hari ini dan ingin juga solat Terawih.

Kuajak dia berwuduk, mengajar niat solat sunat Terawih dan cara mengerjakannya. Adik ini sungguh teliti. Datang tanpa disuruh. Seronok apabila diajar. Maha suci Engkau Ya Allah. Engkau buka hatinya untuk mendekati-Mu seawal umur ini..


[+] Read More

Thursday, September 6, 2007

Buku Cerita

Assalamualaikum wbt..

Salam sejahtera, ahlan wasahlan alaikum..

Hidup ini ibarat sebuah buku cerita. Setiap helaian membawa kepada suatu cerita baru. Mungkin suka, mungkin juga mnyakitkan hati. Setiap helaian baru itu kadang-kadang membuat saya termenung sendiri. Apakah kesudahan buku cerita saya?

Terima kasih kerana sudi membaca post saya yang pertama. Alhamdullillah, akhirnya saya berkesempatan untuk memiliki blogger sendiri. Saya tidak harapkan pengunjung yang tidak putus-putus tetapi ingin mencuba suatu yang baru. Mana tahu, blogger ini akan menjadi sebuah buku cerita paling indah dalam hidup saya?

Wallaahualam..

[+] Read More

 
Dear Diary Blogger Template