Sunday, November 30, 2008

Hargai Seni Itu!


Bukan semua yang diingini berjaya kita miliki. Bukan semua yang mampu dicapai menjadi milik kita. Juga, bukan semua yang kita miliki akan kekal selamanya. Dalam apa jua keadaan, memasang impian atau dalam membuat keputusan, selitkan rasa bersyukur dengan segala yang ada dan rasa reda dengan segala yang akan kita terima.

Begitulah hidup ini, setiap yang aku lalui bukan seindah hamparan impian yang aku lakar di atas kertas kehidupan. Lakaran impian hidup yang aku buat berubah dengan tertumpahnya warna-warna harapan, dan corak suka duka ibu bapaku. Lukisan menjadi abstrak. Sukar difahami oleh kebanyakan mata yang memandang. Lantas ada mulut yang berkata, hanya hati yang buta seni menyatakan itu lakaran sampah. Aku termenung lagi. Berapa ramai pula manusia di dunia ini yang benar-benar menghargai seni kehidupan?

Oh, tidak! Mengapa perlu aku berputus asa dan kalah dengan kritikan orang yang bercerita? Hentikan berfikir yang bukan-bukan. Aku sendiri terlebih dahulu mesti hargai seni kehidupanku. Berusaha menambah baik dengan lukisan terindah. Boleh jadi sampai masanya aku akan menemui pembeli yang benar-benar menghargai karya jalan hidupku. Jika takdirku lebih baik, aku akan menemui pembida tertinggi yang akan membayar dengan nikmat di akhirat sana! Siapa?

Aku mesti kuat demi melihat kehidupan sementara mahupun abadi sentiasa lebih baik. Aku wajib menjadi karyawan yang paling menghargai hasil kerjaku. Mesti yakin dengan apa yang aku buat dan terima. Aku tidak boleh menjadi karyawan yang cuba menciplak hasil seni kehidupan orang lain. Meniru hasil seni kehidupan manusia paling hebat di dunia pun, pastinya selama hidup, aku tidak akan menemui nilai harga segala yang kulakukan. Aku mesti yakin dengan seni jalan kehidupanku sendiri.

Begitu juga KAMU! Hargai seni kehidupan kamu.

Jika kita turut beranggapan hasil seni kita sampah, meskipun harganya tidak ternilai, ia tetap sampah! Seandainya seni hidupmu benar-benar tiada nilai di matamu mahupun orang lain, angkatlah hamparan kertas laksana maruah kamu itu, dan mengadulah kepada Zat yang menciptakan anggota tubuh kita. Bertaubat dan berdoalah. Dia Maha Pengasih..

Pesanan : Maafkan saya kerana sekian lama tidak muncul di sini. Ingin dimaklumkan, saya tidak dapat menerima tawaran untuk menyambung pelajaran ke Universiti Mu’tah, Jordan setelah menimbangkan keadaan dan saranan kedua-dua orang yang paling berhak ke atas saya. Ini juga seni. Saya menghargainya dan akan terus melakar dengan pena yang tajam!

1 comment:

MS Rizal said...

Salam,

Coretan yang agak berbaur sedih. Saya tidak akan mengatakan "sabarlah!" kerana ianya mungkin akan lebih memedihkan hati.

Tetapi saya akan mengatakan, "bangunlah!" kerana bangun itu perlu untuk mengejutkan orang yang lena dek mimpi.

Jangan bersedih! Tetapkan tekad dan teguhkan niat. Jika tidak sampai anti di sana, maka maksudnya ada urusan bertangguh yang ukhti belum selesaikan di sini.

Dan ingatlah! Bukan ukhti seorang sahaja yang punya kisah gagal menyambung ke luar negara, orang lain juga sama dan sudah terlebih dahulu dari ukhti. Cuma mungkin jalan cerita dan coretan seni sahajanya yang berbeda.

 
Dear Diary Blogger Template