Saturday, July 19, 2008

Bukan dosa biasa.

"Pss.. kak! Tahu tak, pembantu rumah kita tu dulu kerja dot..dot..dot,"

"Eh, kelakarnya suara kawan kau tu! Macam tuuuut"

Ha, nampaknya ada antara kita yang sudi makan daging saudara sendiri! MasyaAllah, bukankah kita sudah maklum bahawa Allah mencela orang yang mengumpat (ghibah). Bukan apa-apa? Boleh bertaubat selepas ini? Baik kita fikirkan semula kalau berfikiran sebegini. Kenapa? Tahukah kamu orang yang biasa mengumpat kemudiannya bertaubat, dia adalah orang yang terakhir masuk syurga. Manakala orang yang biasa mengumpat tetapi tidak sempat bertaubat adalah orang yang pertama masuk neraka! (Ini Hadis)

"Janganlah sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)?" (Surah Hujurat : 12)
Mengumpat atau fitnah semakin menjadi-jadi akhir zaman ini. Nilai kembali segala yang terzahir dari mulut kita seharian. Orang yang terbiasa mengumpat (ghibah) ibarat seseorang yang berkunjung di rumah yang penghuni di dalamnya makan khinzir, baunya busuk sekali. Padahal penghuni tersebut langsung tidak tercium bau tersebut, kerana.. sudah terbiasa.

Jangan meremehkan dosa mengumpat hingga menganggapnya dosa besar yang 'biasa'. Bahkan Hasan ra ada berkata, "Demi Allah, ghibah itu lebih cepat meruntuhkan agama daripada pemakan jasad,". Jika sebuah negara terlalu asyik dengan sesi mengumpat dan menabur fitnah, wajarlah difikir kembali. Mampukah sebuah negara Islam yang baik diwujudkan, sedang nilai hidup beragama penduduknya runtuh?

Zaman dah berubah.. dunia dah maju.. Sememangnya negara-negara yang telah jauh kehadapan mengecap erti kemajuan lazimnya mempunyai rakyat yang bersatu dan berdisiplin. Demi melakukan kezaliman ke atas negara-negara Islam pun mereka mampu bersatu! Kita ambil yang jernih. Apabila inginkan negara yang bersuasana mahabah dan berteraskan Islam, semestinya, pemimpin mahupun rakyat harus sepakat. :)

Jangan pernah bermain-main dengan erti taubat. Benar, Allah itu Maha Pengampun, sayang.. namun itu bukan tiket untuk kita meremehkannya. Sebaiknya, selusuri dahulu syarat-syarat sebelum dosa itu diampunkan. Seorang lelaki yang berzina dengan perempuan yang telah bersuami, taubatnya hanya diterima setelah dia minta 'halal' kepada suami perempuan tersebut. Begitu juga orang yang meninggalkan solat, puasa, zakat, dan haji, dosanya tidak terhapus melainkan dia bertaubat dan mengqada'kan semula (ganti).

Bagaimana dengan mengumpat? Rasulullah S.A.W telah bersabda :
"Takutlah ghibah. Ia lebih buruk dari zina. Lelaki berzina lalu bertaubat, Allah menerima taubatnya. Sedangkan Allah tidak mengampuni orang yang ghibah sebelum orang yang diumpat memaafkannya,"
Semoga anda dan saya yang menulis ini terutamanya jelas akan hal ini. Oh ya, bagaimana jika kita menuduh orang berzina atau meliwat sesuka hati dan kita sibuk menyampaikan kepada orang lain? Bagaimana pula jika ternyata orang yang dituduh itu tidak bersalah? Saudaraku.. kita faham-fahamlah, kerana mulut badan binasa. Kerana menuduh orang berzina tetapi ternyata kesaksian tidak kukuh atau tuduhan palsu, boleh jadi kita antara yang layak menerima 80 kali sebatan, tiada diskaun. Hehe. Itupun jika kita tidak mendapat bonus, yakni orang yang tidak bersalah dan teraniaya itu berdoa, tidakkah dia termasuk orang yang mustajab doanya? Allah lebih tahu.

Jangan kita termasuk orang yang zalim dan rugi! Fikir-fikirkanlah sebelum berbicara.. kerana aku menyayangimu wahai sahabat dengan segenap jiwa ragaku..

1 comment:

MS Rizal said...

Ghibah itu tidak elok..

Tetapi satu lagi perlu diingat...
Menjadi perantara ghibah juga tidak elok..
Memindahkan cakap-cakap keburukan kepada orang yang dikutuk sedangkan orang itu tidak tahu adalah berdosa..
Ianya bisa memutuskan dan mengendurkan hubungan sesama muslim..
Walhal jika tidak diberitahu, orang yang dikutuk tidak sedar dia dikutuk dan tidak ada permusuhan yang akan timbul antara kedua-dua pihak.

Saya tidak nampak pihak yang sewenang-wenangnya melakukan kerja buruk ini selain media..

Akibat media, berapa ramai rumah tangga bercerai berai, ulama' bergaduh, pemimpin bercakaran dan fitnah berleluasa.

Moga Allah selamatkan kita daripada badai Fitnah ini...

 
Dear Diary Blogger Template