Thursday, April 17, 2008

Siapa Mereka Dalam Hidupku?

Jika ditanya siapa yang gagal menilai hidup, maka aku salah seorangnya. Aku terlalai dalam membawa amanah mak dan abah. Aku mengejar sesuatu yang besar, namun ada ketikanya aku terleka menjaga sesuatu yang kurasa kecil, namun menjadi impian mereka.

Astaghfirullah, kumulakan bicara dengan pinta keampunan-Mu ya Allah, andai tutur kataku melampau namun perlakuanku, tidak sehaluan. Imanku terlalu nipis dan akalku sangat-sangat terbatas. Dalam melalui umurku, aku tidak terlepas ingin mengicip sedikit kebebasan dalam haluan hidup. Natijahnya, ada yang terluka.

Walaupun tidak terluah oleh kata-kata, aku menolak impian ibuku. Aku tidak pernah sedar permintaannya untuk selalu makan bersama sangat tinggi. Aku tidak pernah tahu bahawa ibu menyimpan impian untuk dihantar ke tempat kerja oleh anaknya sendiri. Aku tidak pernah sedar selepas ayah, aku adalah insan yang sangat diharapkannya untuk menerap nilai hidup beragama dalam keluarga. Banyak lagi kealpaanku. Sifat tidak endah ini menjadi racun dalam hidup.

Berkata Dr. Fadilah Kamsah, tiada istilah melukut di tepi gantang bagi setiap kelahiran anak Adam. Ibarat seperti planet, tiada salah satunya, cacatlah sistem suria. Ibu berkata, perkara yang paling membahagiakan hidupnya adalah ketika kelahiran aku, aku harapannya. Luluh hati mendengar. Aku baru sedar kesilapan dan keegoanku. Ya Allah, terasa murah sangat air mata ini. Anak yang taat bukan hanya tahu menjaga maruah agama di luar, tidak berpeleseran, dan menjaga aurat, tetapi tahu mengaplikasikan beberapa komponen penting untuk menjadi anak soleh. Berjayanya seorang anak bukan kerana kekayaannya, tetapi hubungan baiknya dengan ibubapa. Ini bukan hanya hipotesis, malah telah menjadi teori bahawa reda Allah letaknya pada reda ibubapa.

Sesungguhnya, jagalah tingkah laku. Kepada rakan-rakan dan adik-adikku, jangan pernah menganggap ibubapa penghalang cita-cita, tetapi mereka ingin melorongkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Andai jika kita ada cita-cita yang ternyata berbeza dari lorong itu, berbicaralah dengan mereka dengan penuh hikmah. Pinta restu mereka, dan jangan biar mereka kecewa hingga menitis air mata kerana kederhakaanmu. Mungkin kamu berjaya dengan pilihan kamu, tetapi kamu gagal mengecap kebahagiaan selama mana tiada keredaan, Allah dan ibubapa.

Jika ibubapa mahukanmu meminta izin dahulu sebelum keluar jauh, maka, meski menuntut di universiti, sekurang-kurangnya sms mereka. Kedengaran remeh kan? Tetapi perhatian tidak langsung ini sebenarnya sangat membahagiakan. Jangan bermimpi meredah lautan api dapat mengatasi jasa mereka terhadapmu. Tidak mungkin! Tidak sekali-kali.. Mungkin mereka tidak pinta, namun perkara remeh inilah yang membuat mereka berasa sangat dihargai. Tahukah kamu, kerinduan mereka terhadapmu, ada ketikanya boleh menjadi kederhakaan kamu pada mereka? Ada restu mereka, maka mudahlah urusanmu di dunia.

Tulang belakang semangatku adalah cinta dan kasih sayang keluarga. Porak-peranda keluargaku, maka kacau bilau jalan-jalan hidupku. Pastinya, kebahagiaan mereka adalah kebahagiaanku.

2 comments:

Anonymous said...

salam...
aini...
keluarga sememangnya pntg dalm khdupn kite...terutamanya dlm mngejar cita2...
kte setuju dgn aini..ibubapa bukan p'halang untk kte menuju kejayaan..malah, merekalah yg tlh bnyk mmbri dorongn dn pnduan...
walau sesukr manapn kehidupan...walau segetir manapn rnjau yg mnduga...ingtlah...rstu mereka itu sgt pnting dn bermakna dlm hidp kte didunia tg semntara ini.......

Nur Ruqaiyah Abdul Rahman said...

subhanallah
tenang mmbca bait bicaramu sahabat
terasa aku tidak sndiri dlm menghadapi situasi begini

 
Dear Diary Blogger Template