Showing posts with label thank you. Show all posts
Showing posts with label thank you. Show all posts

Wednesday, September 3, 2008

Harapan Ramadhan!

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Semuanya nampak mudah. Segala-galanya sempurna. Namun tidak siapa tahu, setelah setahun meninggalkan USIM, bernaung di bawah satu syarikat, berperang dengan pelbagai emosi, mungkinkah ganjaran baik yang aku dapat atau mungkin sebaliknya? Yang lebih penting, adakah itu kehendak aku?

Cukup sahaja Allah mengetahui sebanyak mana air mata ini tumpah. Dia adalah Zat yang mendengar doa dan harapanku. Tatkala tiada bahu untuk kusandar tangisan, pada-Nya jua kusandar harapan. Dari harapan yang pahit, aku menemui keredaan yang manis. Aku tidak pernah menyesal dengan jalanku. Alhamdulillah, banyak yang aku pelajari. Dari ilmu perniagaan, ilmu pertanian, ilmu pemasaran, ilmu komputer, dan juga, ilmu sosial. Meski tak sempurna, tapi berguna.. :)

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti


Bohonglah kalau hati tidak cemburu melihat orang lain menuntut ilmu. Nafsu ingin segala-galanya perfect belaka. Namun, itu mungkinkah? Sedang dunia orang Mukmin itu telah dibeli oleh Allah, dan kesusahan itu pasti bagi orang-orang yang beriman.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, diri, harta mereka
dengan memberi syurga kepada mereka.." (At-Taubah : 111)

Mendengar sahabatku di perantauan tiada makanan untuk berbuka, mengetuk pintu syukur dan keinsafan. Nafsuku ditegur. Dengan harapan Ramadhan, titipkanlah semangat juang di dalam hati aku dan dia, juga hati saudara-saudaraku yang ditindas kafir laknatullah. Allahumma ansurna bil Islam, fil Iraq wal palastin wal afghanisthan wal malizia wal indonezia, wa fi kulli makan ya Allah..

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan


Hakikatnya, masih tersimpan di sudut hati, aku ingin menuntut kembali. Kalau orang lain tak sabar-sabar menamatkan pengajian, aku pula tidak sabar-sabar untuk menyambung pelajaran. Huhu. Biar sampai mati, tiada istilah berhenti. Ikut kata Rasulullah SAW pepatah arab, Tolabal Utlubul ilm minal mahdi ilal lahd, tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Sememangnya, aku mendukung harapan tinggi untuk ke bumi Anbiya (huhu..), tiada mustahil bagi Dia, namun aku akan akur atas segala ketentuan-Nya. Dengan keberkatan Ramadhan ini Ya Allah, jangan putuskan nafas sabar dalam diriku. Pastinya ada jalan keluar! Sebagaimana satu hadis sahih menyebut, “Ketahuilah bahawa bantuan itu ada bersama kesabaran dan jalan keluar itu selalu bergandingan dengan cubaan.”

“Ingatlah, sesungguhnya bantuan Allah itu amat dekat,” (Al-Baqarah : 214)
Tak salahkan berharap begini? Teringat kata-kata Leftenan Muda Nor Naimi dari Team Bina Insan yang dalam slotnya selalu berpesan, ‘Matlamat adalah apa yang kita mahu (harapan), kita tulis, dan kita baca setiap hari’ Bukan sahaja beliau, malah Irfan Khairi, jutawan internet muda juga menyimpan matlamat sejak berumur 18 tahun. Matlamat dan harapan itu yang dibaca setiap hari.

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua


Bait-bait lirik ini kucedok dari nasyid Harapan Ramadhan oleh Raihan dan Man Bai. Semoga harapan Ramadhan ini akan terus hidup di jiwaku dan melagukan kasih rindu untuk menjadi hamba Allah yang baik. Izinkan aku menamatkan bicara dengan harapan, tolong doakan diri ini!

[+] Read More

Monday, January 28, 2008

I'm fine, thank you!

Dia lain hari ini, hatiku berbisik. Kegugupannya menarik perhatianku. Kesugulannya mengundang tanda tanya. Lantas kuhulurkan salam bertanyakan khabar. Jawapan yang sudah kujangka, Alhamdulillah, aku baik-baik sahaja. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, sama ada tua mahupun murid-murid sekolah;


Kaifa haluka? Alhamdulillah ana bikhair.

How are you today? I'm fine, thank you!


Meski si kecil yang sedang demam selsema itu perit mengawal hingusnya, jangan hairanlah jawapan yang kedengaran masih juga sama. 'Skrip sterotaip' ini sudah biasa kedengaran. Tidak hanya budak kecil, ketika dirundung rasa susah hati, aku masih juga menggunakan ayat lama ini (huhu).


Kenapa? Sudah terbiasa..


Apa yang ingin aku huraikan di sini sebenarnya tanggungjawab bertanya kabar sesama rakan tidak tamat pada ucapan 'Saya baik-baik sahaja'. Kadang-kadang
menjaga tepi kain orang itu lebih baik dari menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (huhu!). Aku sendiri amat senang hati jika ada orang yang mengambil perhatian perubahanku. Ini menunjukkan bahawa hidup kita di dunia ini tidak pernah keseorangan. Nyahkan sedikit pepatah pertama itu dan selitkan hidup ini dengan peribahasa seperti isi dengan kuku di dalam menjalinkan silaturrahim (lagi satu!).


Apabila melihat, jangan bataskan pandangan. Apabila mendengar jangan hanya sampai di telinga. Lihat dan dengarlah dari sudut jiwa. Permasalahan mengajar kita berfikir. Perkongsian menjalin kasih sayang. Namun jika benarlah saudara kita itu tidak bersedia berkongsi atau kita tidak mampu menolong, hulurkan kata-kata semangat. Ingat ya, sedang Imam Shafie juga terlalu mementingkan nilai persahabatan. Sukar untuk mencari sahabat tatkala waktu susah menjelma.

Kuatkan semangat mereka! Firman Allah;

"Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)."

Kita juga, jika tiada siapa peduli tatkala dilanda keresahan, jadilah pendorong paling baik untuk diri sendiri. Mengapa? Bukan semua rasul adalah ulul azmi. Rasul yang punya keazaman dan ketabahan yang hebat itulah yang diangkat tinggi oleh Allah SWT. Jadi sematkan tekad, kuatkan azam! Hasbunallah wa ni'mal wakeel. Cukuplah Allah sebagai pelindung. Hati akan reda, insyaAllah!

[+] Read More

 
Dear Diary Blogger Template