Monday, January 28, 2008

I'm fine, thank you!

Dia lain hari ini, hatiku berbisik. Kegugupannya menarik perhatianku. Kesugulannya mengundang tanda tanya. Lantas kuhulurkan salam bertanyakan khabar. Jawapan yang sudah kujangka, Alhamdulillah, aku baik-baik sahaja. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, sama ada tua mahupun murid-murid sekolah;


Kaifa haluka? Alhamdulillah ana bikhair.

How are you today? I'm fine, thank you!


Meski si kecil yang sedang demam selsema itu perit mengawal hingusnya, jangan hairanlah jawapan yang kedengaran masih juga sama. 'Skrip sterotaip' ini sudah biasa kedengaran. Tidak hanya budak kecil, ketika dirundung rasa susah hati, aku masih juga menggunakan ayat lama ini (huhu).


Kenapa? Sudah terbiasa..


Apa yang ingin aku huraikan di sini sebenarnya tanggungjawab bertanya kabar sesama rakan tidak tamat pada ucapan 'Saya baik-baik sahaja'. Kadang-kadang
menjaga tepi kain orang itu lebih baik dari menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (huhu!). Aku sendiri amat senang hati jika ada orang yang mengambil perhatian perubahanku. Ini menunjukkan bahawa hidup kita di dunia ini tidak pernah keseorangan. Nyahkan sedikit pepatah pertama itu dan selitkan hidup ini dengan peribahasa seperti isi dengan kuku di dalam menjalinkan silaturrahim (lagi satu!).


Apabila melihat, jangan bataskan pandangan. Apabila mendengar jangan hanya sampai di telinga. Lihat dan dengarlah dari sudut jiwa. Permasalahan mengajar kita berfikir. Perkongsian menjalin kasih sayang. Namun jika benarlah saudara kita itu tidak bersedia berkongsi atau kita tidak mampu menolong, hulurkan kata-kata semangat. Ingat ya, sedang Imam Shafie juga terlalu mementingkan nilai persahabatan. Sukar untuk mencari sahabat tatkala waktu susah menjelma.

Kuatkan semangat mereka! Firman Allah;

"Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)."

Kita juga, jika tiada siapa peduli tatkala dilanda keresahan, jadilah pendorong paling baik untuk diri sendiri. Mengapa? Bukan semua rasul adalah ulul azmi. Rasul yang punya keazaman dan ketabahan yang hebat itulah yang diangkat tinggi oleh Allah SWT. Jadi sematkan tekad, kuatkan azam! Hasbunallah wa ni'mal wakeel. Cukuplah Allah sebagai pelindung. Hati akan reda, insyaAllah!

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template