Monday, October 8, 2007

Izan Waffakoniyallah.... (Apabila Allah memberi Taufik)

Ya Allah, aku sudah tidak sabar. Sudah lama aku tertunggu-tunggu kedatangannya. Di dalam diari, hand phone, malah di dalam buku teks aku tak lupa mencatat tarikh ini. Aku tidaklah terlalu tua untuk mengingat. Huhu. Mungkin terlalu teruja! Ya Allah, aku rindu sangat..
Ahlan wasahlan Ramadan al-mubarak!

Inilah hari dan bulan yang kuternanti-nanti. Alhamdulillah, tahun ini aku berpeluang lagi menemuimu. Sedikit sebanyak aku teringat saat-saat berpuasa di sekolah dahulu. Lima tahun di asrama penuh. Dalam tempoh itu pelbagai pengalaman aku lalui. Bangun sahur seawal 4.30 pagi (semestinya bukan aku yang menyediakan lauk), menghidangkan juadah buka puasa untuk puteri-puteri asrama, mengunjungi bazar kecil milik Pak Mat, solat terawih di musolla, tadarus, dan moreh!

Oh, itu dahulu! Semua yang kulalui hampir sama setiap tahun. Memori yang kutinggal semalam. Tahun ini sudah tentu berbeza. Malam itu aku dan rakan-rakan serumah (Tamhidi USIM) turun ke musolla Camelia Court. Para jemaah mulai memenuhi saf. Kami beramai-ramai mengimarahkan malam 1 Ramadan 1428 H dengan tadarus dan solat sunat terawih. Hatiku benar-benar terusik. Ya Allah, aku rindu..

Hari pertama aku berpuasa. Aku bersahur nasi yang kubeli semalam. Rakan-rakan serumah kukejutkan dari lena. Kami berkongsi nasi. Jujurnya, bukan senang menelan nasi sejuk. Kami tiada pilihan. Aku jarang merasa saat terdesak seperti ini. Bukan aku seorang. Kami semua sama. Hatiku meruntun rasa sayu. Mata kami bertatapan. Ya Allah, Kau kuatkanlah iman saudara-saudara kami yang lebih susah dari kami, yang tidak berpeluang menikmati secebis makanan di saat ini. Masukkanlah juga kami antara hamba-hamba Mu yang bersyukur. Ameen.

Alhamdulillah. Aku lalui hari ini dengan baik. Malam itu aku turun lagi ke musolla. Ketika melabuhkan punggung , seorang kanak-kanak menegur. "Kakak nak solat Terawih, ya?". Aku mengangguk dan tersenyum. Dia bersendirian. "Ibu tak boleh datang". Aku pandang matanya. Fahamkah dia apa yang diucapkan? Kami bertaaruf. Si kecil ini berumur lima tahun. Dia berpuasa hari ini dan ingin juga solat Terawih.

Kuajak dia berwuduk, mengajar niat solat sunat Terawih dan cara mengerjakannya. Adik ini sungguh teliti. Datang tanpa disuruh. Seronok apabila diajar. Maha suci Engkau Ya Allah. Engkau buka hatinya untuk mendekati-Mu seawal umur ini..


2 comments:

Anonymous said...

Apabila Allah memberi Taufik.. tiada siapa yang boleh menghalangnya.

hanif_m_noor said...

Alhamdulillah...taufik itu satu rahmat tuhan yang tidak ternilai

 
Dear Diary Blogger Template