Friday, November 18, 2011

Ujian Tidak Pernah Berhenti

Kekhilafan, kekurangan, dan kekangan menghambat aku untuk terus menulis di blog ini. Ini blog yang menyimpan kisah hidupku - umumnya. Inilah blog yang menyimpan pelbagai kisah dukaku - khususnya. Inilah tempat curahan hati yang menemukan aku dengan pelbagai macam orang.

Pelbagai pendapat.

Pelbagai pendirian.

Di sinilah tempatnya aku menulis dengan air mata. Aku belajar tersenyum di saat aku dilanda luka melalui penulisan Senyumlah, Atasi Semuanya. Meredai ujian melalui Bersyukur, Boleh Ke ni? dan Azimat Hati yang Terlalai. Menyatakan idolaku melalui Madah Kasih. Merhargai dua orang cintaku dalam Siapa Mereka Dalam Hidupku. Penulisan terakhir merupakan kemuncak kedukaanku namun kini bunga-bunga bahagia mulai mekar kembali di taman yang dahulunya hampir mati. Syukur ke hadrat-Mu Ya Allah…

Setiap kesusahan pasti muncul kemudahan. Setiap kesukaran pasti ada penghujungnya. Namun jangan harapkan ujian untuk berhenti, jika bukan sekarang, pasti dua hingga tiga bulan lagi kamu pasti bertemu dengannya. Itulah UJIAN.

Jika kamu teruji, bersyukurlah, kerana ujian itu dari Tuhan. Itulah tanda Tuhanmu tidak pernah melupakanmu, tetapi kealpaanmu yang selalu melupakan Tuhanmu. Jika kamu sudah lama tidak teruji, berjaga-jagalah. Bimbang kamu tidak sedar, bahawa kamu makin jauh dari Tuhan, dan Tuhan makin jauh dari kamu. Jika benar, rugilah kamu. Itulah besarnya peranan ujian di sisi orang-orang BERIMAN.

Akhir kalam: Andai kamu pernah membaca tulisan-tulisanku sekitar dua tahun dahulu, pernah mendoakan dan mendorongku, pernah berkongsi pengalaman dan harapan, pernah mengasihi diriku dan masih menyayangiku selaku saudara seagamamu, ingatlah, ikatan kita tidak pernah putus. Dari hati ke hati.

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template