Monday, November 21, 2011

Impian Besar 2011 Tercapai

SETAHUN YANG LALU..

Aku mengurung diri di bilik memikirkan sesuatu yang perlu aku capai dalam tempoh sepuluh tahun. Aku mengambil inspirasi dari novel Ayat-ayat Cinta karangan Habiburrahman mengenai perancangan Fahri untuk tempoh sepuluh tahun mendatang yang ditampal di biliknya. Menarik perhatian. Lantas aku mengambil kertas dan mencoret impian-impian jangka panjang (10 tahun) dan impian-impian jangka pendek (1 tahun). Kurang satu jam, satu Gantt Chart1 perjalanan hidupku terhasil. Aku sudah mampu tersenyum puas. :)

Mahu tahu target hidupku?

Pada asalnya aku tidak bersedia untuk berkongsi impian dan cita-citaku dengan sesiapa. Hatta suami akupun tidak tahu tentang kewujudan 'Kertas Impian' yang menggambarkan segala kehendak diri seterusnya menggambarkan siapa aku. Suami? Shock to hear that? Ya, salah satu target besar yang aku curahkan dalam Kertas Impianku itu adalah mendirikan perkahwinan dengan insan yang aku impikan dan boleh bertanggungjawab terhadap aku. Secara tidak langsung, tentulah bertanggungjawab terhadap cita-citaku. Hi hi..B)

Penting sangatkah target dan impian? Mengapa tidak biarkan qada' dan qadar berlaku dengan sendirinya? Mengapa perlu merancang berlebihan sedangkan setiap Muslim itu dikurniakan senjata DOA supaya Perancang terbaik (Tuhan) merancang segalanya? Perlukah bersusah payah dan bersediakah untuk menitiskan air mata tatkala impian tidak selari dengan hakikat sebenar? Nah, mungkin ini adalah sebahagian yang bermain di benak orang-orang yang belum mengerti makna target dan impian. Ya, kita boleh andaikan hidup ini laksana sungai yang mengalir dan di muaranya adalah laut akhirat yang sedia menanti. Seandainya kita sebagai air sungai itu tidak mahu menongkas arus dan membiarkan diri dihantar ke cabang-cabang sungai yang tidak terancang dengan baik, boleh jadi kita ke tempat yang beracun,
kotor, dan menjijikkan. Inilah hidup, kadang kala tenang, kadang kala deras. Beranilah menghadapinya dan beranilah untuk merancangnya. Caranya, banyakkan membaca, berkawan dengan orang-orang yang soleh, dan bertanyakan pendapat ulama'.

Dengan bahasa mudah, aku sangat menghargai orang yang memiliki target dan perancangan dalam hidup. Setahun yang lalu, aku membuat Gantt Chart selama tempoh menuntut ilmu di KIPSAS. Kolej Islam yang terletak di Pahang ini berkapasiti kira-kira 1,000 orang pelajar diploma dari pelbagai jurusan. Bukan angka kecil itu yang mahuku persoalkan, bahkan aku sangat bersyukur kerana merupakan salah seorang anak didik di situ. Cuba nyatakan dalam beribu-ribu kolej dan universiti yang wujud di Malaysia, yang mana peraturannya bertudung labuh wajib untuk muslimat? Yang mana boleh menerima pelajar lepasan sekolah bukan aliran agama untuk mengambil jurusan pengajian Islam? Yang mana menyediakan hostel tanpa perlu mencari rumah sewa sepanjang menuntut ilmu di situ? Yang mana memiliki barisan pensyarah/ ustaz yang bukan hanya mengajar, bahkan mentarbiyah? Yang mana yurannya jauh lagi murah dari kos pengajian di sebuah kolej Islam di Selangor? Bukan mahu membanding sebenarnya.., tetapi mahu menyedarkan anak-anak KIPSAS masa ini yang tidak tahu dek untung dan mensyukuri Qada' hidupnya ditentukan Allah di KIPSAS. Maaf, perenggan ini agak beremosi. OK.., cool balik.

Berbalik kepada Gantt Chart yang telah aku buat, berikut adalah perancangan aku:

  1. Menamatkan tempoh menuntut ilmu di KIPSAS lebih awal: Sepanjang pengetahuanku, tiada lagi semester pendek untuk program diploma mulai tahun 2008. Maknanya, mahu atau tidak, setiap orang yang mengambil jurusan diploma di seluruh negara perlu melalui tempoh pengajian tiga tahun. Oleh sebab semester terakhirku hanya perlu memilih untuk menulis Kertas Projek/praktikal tiga bulan, maka aku merancang untuk memilih menulis kertas projek dalam semester lima. Praktikal bukan? Namun perancangan ini bukan mudah. Aku perlu berhadapan dengan KJ Dakwah dan Pengurusan, Dekan Pengajian Islam, dan Naib Presiden Akademik KIPSAS seorang diri. Bukan hanya satu surat dan bukan hanya satu pertemuan yang perlu kulalui. Bahkan ada mesyuarat khusus untuk permohonanku kerana dibimbangi menyalahi MQA. Syukur, permohonanku berjaya dan dua lagi dari rakan-rakan sekuliah mengikut jejakku.

  2. Menuntut Ilmu di IAIN Ar-Raniry Aceh, Indonesia: Melanjutkan pelajaran di sebahagian IAIN yang membuat MoU dengan KIPSAS adalah suatu kebiasaan. Selain Aceh, IAIN lain yang ditawarkan adalah di Medan, Padang, dan lain-lain. Yang menjadikannya luar dari kebiasaan adalah aku memohon menuntut ilmu di sana sedangkan aku masih belum tamat mengaji di KIPSAS. Itu bukan menjadi masalah. Bukankah jika Allah kata jadi, maka jadilah? Allah pemegang hati kita, dan Allah juga pemegang hati-hati orang-orang tempat mengajiku. Pada saat senior-seniorku mengalami birokrasi untuk menerima sijil diploma masing-masing seperti perlu menyelesaikan pelbagai hutang (jika ada), aku dimudahkan urusan. Sangat mudah! Ini bukan kerja manusia, ini kerja TUHAN! Mengapa Aceh pilihanku? Jawapannya, aku mahu bernaung di Serambi Makkah. Alhamdulillah, tanggal 21 Sept. 2011 aku diterbangkan LCCT ke bandara Sultan Iskandar Muda, Aceh.

  3. Menyelesaikan misi Ekspedisi Dakwah ke Sabah: Perancangan ekspedisi dakwah ini semestinya bukan mudah. Sudah setahun program ini tertangguh. Bagi anda yang selalu membuat kerja dakwah pastinya akan mengakui kekangan kewangan adalah masail yang besar. Keberadaan aku sebagai S/U memberi peluang kepadaku untuk melihat secara life tangisan ustazah kesayanganku, keperihan para ahli, kesakitan, kesukaran, dan pelbagai pengorbanan para pencinta dakwah! That's why I love dakwah very much! Banyak miracle berlaku yang menyebabkan aku sedar bahawa dengan impian dan kerja yang ikhlas tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Syukur program ini ini terlaksana April lalu.

  4. Mendirikan Perkahwinan: Teruja untuk bercerita mengenainya. Aku suka cara dia bermuamalah dengan orang lain. Aku suka cara bercakapnya yang sangat bersederhana dan merendah hati. Aku suka cara dia mengatasi masalah. Aku suka cara dia marah. Aku suka cara dia mengasihi ibu, bapa, dan adik-adiknya. Aku suka cara dia menghargai kawan-kawannya. Aku suka cara dia menghadapi tanggungjawab di luar bebannya. Aku suka cara dia menjaga solatnya. Aku suka mendengarkan bacaannya tatkala menjadi Imam Tarawih di masjid KIPSAS. Aku suka cara belajarnya yang bersahaja tetapi setiap semester mendapat 4.00 flat dalam jurusan Syariah yang digeruni ramai orang. Aku kagum melihat dia mengajar al-Quran seusai kuliah di tiga tempat berbeza sehingga jam 11 malam. Bila dia membuat revisi? Aku suka dia membuat semua itu sekalipun semua itu tidak diperlakukan ke atas aku. Aku mengaguminya tetapi untuk memilikinya adalah di luar batasanku. (Am I right?)


  5. Nah, sekali lagi miracle Allah terjadi! Dia melamarku. Dua tahun yang lalu dia menyatakan komitmennya untuk menjadikan aku teman hidupnya di dunia dan akhirat. Aku cuba menjaga rahsia ini sebatas kemampuanku. Seboleh mungkin sebagai anggota jamaah dakwah aku tidak mahu menimbulkan fitnah ke atas diriku dan agamaku. Namun rupanya dalam rahsia yang cuba kujaga ramai pensyarah telah mengetahuinya. Rahsia bukan lagi rahsia. Kami dijadikan role model. Rasa bersalah dan malu menebal. Bukan ini yang aku mahu.... Sehinggalah terjadinya Qada' Allah apabila dia mengalami kemalangan jalan raya. Dahsyat. Tidak akan dapat aku lupakan Allah menarik balik kewarasannya hampir 24 jam. Dia yang masih di wad ICU menelefonku berulang-ulang kali pada setiap 10 minit untuk memberitahuku bahawa dia mengalami kemalangan. Berulang-ulang kali juga aku menyabarkan dirinya dan juga diriku. Belumpun reda keresahan apabila ibuku tidak pulang semalaman, aku berhadapan pula berita menyayat hati ini. Syukur adik-adikku yang lain tidak henti-henti mengaji dan bangun malam mendirikan solat sunat. Terasa besarnya ujian.

    Hikmahnya amat besar. Kemalangan itu membawa kepada pertemuan dua buah keluarga. Abahku kata, "Nak melawat kak? Lebih baik melawat. Diapun dah banyak menolong. Kalau ada apa-apa terjadi, nanti ada yang menyesal." Dari titik pertemuan itu membawa kepada saranan dari ibuku pada bulan Disember 2010, "Kak, sebelum pergi Aceh kahwinlah dulu," Itulah yang terjadi. Alhamdulillah pada 24 Jun 2011 kami diijabkabulkan dan walimahnya diadakan pada 25 Jun 2011. Peristiwa paling bersejarah 2011 telahpun berlaku!

Tarik nafas kejap. Hidup ini terasa mimpi. Tak sabar menanti hari esok. Menghargai dan dihargai. Menyayangi dan disayangi. Memberi dan menerima. Membantu dan dibantu. Mencinta dan dicintai. Ya Allah, aku bersyukur atas nikmat pemberian-Mu ini. Sesungguhnya hari-hari duka telahpun berlalu dan kini diganti hari-hari penuh semangat. Suamiku, ibuku, bapaku, adik-adikku, embahku, kawan-kawanku, guru-guruku, orang-orang yang mengasihiku, anda semua terlalu bermakna. Terima kasih atas impian yang telah Engkau kabulkan..


Noraini Nasnan,
21/11/2011
Rumah Kos, Banda Aceh.

1 Gantt Chart: http://en.wikipedia.org/wiki/Gantt_chart

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template